ULILAMRI BERIMAN BERTAKWA DITAATI : DT MUSBAH

Saturday, February 27, 2010





“ Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulilamri dari kalangan kamu. Jika kamu berbantah-bantah atau berselisih dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu mengambalikannya kepada Kitab Allah (Quraan) dan sunnah rasulnya (HADIS) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Demikian itu adalah lebih baik dan lebih elok pula kesudahannya,” Surah Al Nissa Ayat 50.

Jika pengertian ayat Al Quraan ini dihayati oleh para pemimpim siasah,landasan perjuangan untuk membela nasib rakyat di negara ini tidak akan terpesong dan juga arah perjuangannya sentiasa terpimpin kejalan yang benar. Justeru itu seorang pemimpin siasah dikatakan bijaksana jika dia sentiasa bermuhasabah diri dan sentiasa menoleh kebelakang untuk menilai segala tindakan yang lalu berada di atas landasan benar ataupun disebaliknya.

Datuk Musbah semasa berucap dalam majlis pelancaran Maulidur Rasul Peringkat Daerah Kota Belud,di Dewan Tun Said pada 26 Februari 2010 lalu, beliau dengan bijaksana dan penuh yakin menghuraikan satu demi satu persoalan dalam ayat tersebut .Bebarapa pokok persolan dalam ayat ini ialah berhubung dengan sikap umat islam yang suka berbantah-bantah atau suka berselisih faham dalam sesuatu perkara dalam kehidupan. Allah mengingati umatnya supaya sebarang kekusutan dalam kehidupan di dunia ini hendaklah dirujuk kepada nas Al Quraan dan juga Hadis Nabi Muhammad SWA.


Seperkara lagi yang tekankan dalam surah Al Nissa ayat 50 adalah ketaatan umat islam kepada pemimpin mereka. Dalam ayat ini Allah menegaskan bahawa para ulilamri yang beriman dan bertakwa yang telah di pilih oleh rakyat mestilah ditaati . Pernyataan ini jelas dijadikan asas panduan yang penting kepada umat islam di negara ini supaya sentiasa mentaati pemimpin samada pemimpin sesebuah oganisasi jabatan ataupun pertubuhan siasah.

Datuk Haji Musbah Haji Jamli, dengan rasa rendah diri menyatakan bahawa dia bukanlah seorang ustaz namun sebagai pemimpin yang diberi tanggungjawab dan kepercayaan menyampaikan amanat kepada rakyat maka beliau cuba menyampaikan ajaran Allah ini untuk kebaikan umat islam di Kota Belud .

Kelahiran Rasulullah SAW, merupakan satu rahmat kepada kehidupan manusia iaitu meliputi nilai-nilai kebaikan dalam kehidupan. Sumber ajaran yang dibawa dan disebarkan oleh nabi adalah dari wahyu Allah . Wahyu Allah kepada nabi fokas kepada soal akidah, tauhid dan fiqah yang memberi panduan dan mengajar umat islam supaya lebih beriman dan lebih bertkwa kepada Allah.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, juga berkata bahawa Nabi Muhammad telah mewariskan kepada umat islam Al Quraan dan Hadis sebagai panduan mencorak hidup yang bermakna dan diredahi Allah. Oleh itu yang perlu kini ialah kebangkitan minda yang sejahtera, memperkasakan keimanan dan menyusun gerak kerja pragmatic serta komprehensif. Semuanya dengan panduan sejarah perjuangan rasulallah bermula dari saat kelahiran sehinggalah saat kewafatan baginda.

Maulidur Rasul yang kita sambut dan raikan setiap tahun ini hendaklah dijadikan sebagai momentum untuk mempertingkatkan lagi gerak langkah kearah cara hidup yang sempurna sebagaimana yang dikendaki oleh Allah SWT. Kita perlu bangkit dalam konteks pemikiran atau pembangunan minda dan akidah

Sebenarnya ucapan ADUN Tempasuk masih panjang, namun mesej penting ialah menyeru rakyat di daerah Kota Belud hendaklah mencontohi empat akhlak nabi iaitu bersifat benar, amanah, tabligh dan bijaksana.

Dalam soal ini, pandangan dan pendapat Datuk Musbah adalah selaras dengan apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri Malaysia ,Datuk Seri Najip Tun Razak dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini. Datuk Seri Najip menyatakan bahawa sudah tentulah pemimpin-pemimpin masyarakat, pentadbir golongan profesional dan seluruh umat umumnya perlu berusaha memiliki sifat-sifat ini dan mencontohi tingkah laku Rasulullah dalam setiap tindakan dan pekerjaan.

Maulidur Rasul tahun 2010 (1431H) peringkat daerah Kota Belud di sambut begitu meriah dan bersemangat. Sudah tentu situasi seperti inilah merupakan satu bonus kejayaan kepada seseorang pemimpin. Dianggarkan lebih seribu orang telah datang memeriahkan dan mengimarahkan lagi suasana bersalawat ke atas junjungan Nabi Muhammad S.W.T.

Read more...

APAKAH BENAR PROGRAM JUARA RAKYAT KB HAMBAR?

Monday, February 22, 2010





Pagi Sabtu, bertarikh 20 Februar 2010 , saya telah menghadiri satu majlis iaitu ‘Program Juara Rakyat Peringkat Daerah, Kota Belud,’ bertempat di Dawan Tun Said . Sebelum ini saya telah terbaca satu surat jemputan yang bertarikih 17 Februari 2010 dimana dalam surat ini tercatat perkataan’SERTAMERTA’ yang ditandatangani oleh Pegawai Daerah Kota Belud ,Mohd Najib Muntok. Surat itu jelas menerangkan maksudnya iaitu surat-surat jemputan itu hendaklah dihantar dengan seberapa segera ke alamat penerimanya. Apa yang menjadi tanda tanya ialah kenapa surat jemputan itu terlalu lambat sampai kepada penerimanya sehinggakan memakan masa selama empat hari padahal alamat para jemputan hanya disekitar pekan Kota Belud?

Apakah benar sebab utama kelewatan menghantar surat jemputan tersebut adalah disebabkan oleh sikap pekerja yang kurang bertanggungjawab dalam perkara ini? Para jemputan yang diundang menghadiri majlis ini adalah terdiri daripada Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri,Ketua Kampung, Pemaju Masyarakat,Pengerusi JKKK , Imam Kariah, Ahli UMNO,semua kakitangan Agensi Kerajaan, kakitangan Jabatan-Jabatan Kerajaan dan masyarakat setempat .

Kenapa masih ramai yang tidak menghadiri program ini? Seperti ada sesuatu yang tak kena di mana ahli-ahli UMNO yang pro kepada kepimpina bekas Ketua Bahagian UMNO yang lalu ramai yang tidak kenampakan kelibat mereka di dalam majlis ini. Kita sukar membenarkan keadaan ini, kerana tidak baik untuk berprasangka buruk kepada orang lain. Apa yang penting pelancaran majlis ini yang telah dirasmiannya oleh Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Salleh Tun Said, Penasihat Sains dan Teknologi kepada Ketua Menteri Sabah itu berjalan dengan lancar dan cukup meriah.

Benarkah program ini disambut dingin oleh rakyat Kota Belud? Tujuan utama program ini diperkenalkan adalah memupuk perpaduan, menigkatkan semangat kerjasama, mengeratkan silaturrahim dikalangan rakyat dan pemimpin . Tetapi yang peliknya ialah apabila para pemimpin yang lain tidak datang untuk memberi sokongan ke atas program tersebut. Perkara seperti ini perlu diambil perhatian serius dan perlu dibuat kaji selidik kenapa program yang dianjurkan ini tidak menarik minat pemimpin lain dan masyarakat untuk bersama-sama menjayakan nya?Apakah program ini kurang publisiti, tidak dihebah, dan tidak diwar-warkan kepada orang ramai?

Rakyat Kota Belud ramai yang bertanya kenapa para pemimpin politik yang lain seperti ADUN Tempasuk Datuk Musbah, ADUN Usukan Datuk Japlin, ADUN Kedamaian Datuk Herbert Timbon dan Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Rahman Dahlan tidak datang mejayakan majlis ini. Apakah pemimpin-pemimpin ini tidak dijemput ? Jelas di sini kita lihat seolah-olah program ini untuk UMNO Kota Belud sahaja dan tidak melibatkan para pemimpin siasah komponan BN yang lain. Walaupun program ini dianjurkan oleh UMNO Bahagian, Kota Belud , sokongan moral daripada para pemimpin lain amatlah diperlukan. kerana ianya melibat aktiviti rakyat secara keseluruhannya.

Dalam pengamatan secara jujur, jelas politik daerah Kota Belud seperti terdapat tembok pemisah antara satu pemimpin dengan pemimpin yang lain. Barangkali juga, situasi demikian berlaku kerana persaingan sengit untuk memperkasakan pengaruh politik peribadi dikalangan pemimpin di daerah ini. Senario politik seperti ini bukannya satu perkara baru tetapi ianya berlaku sekian lama. Jika isu ini terus berlarutan, dikhuatiri akan berlakunya budaya politik cantas mencatas dimasa akan datang di daerah ini seperti yang berlaku di negeri-neger lain dii Semanjung Malaysia.

Walau bagaimanapun, Program Juara Rakyat ini secara keseluruhannya telah mencapai matlamtnya, di mana masyarakat Kota Belud yang hadir telah menujukkan kesungguhan dan berkerjasama mejayakan aktiviti-aktiviti yang telah disusun seperti kerja bergotong-royong membersih longkang , memungut sampah dan memangkas pokok . Benarlah seperti kata pepatah Melayu , ‘Ringan sama di jinjing berat sama pikul’, dimana kerja-kerja yang dibuat secara beramai-ramai akan menjadi mudah dan cepat disiapkan

Ketua Bahagian UMNO Kota Belud Datuk Salleh Tun Said dan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Awadnir Matanggal turut serta dalam kerja bergotong –royong di diadakan disekitar kawasan Kota Belud. Saya sendiri turut serta membuat kerja membersih parit bersama-sama dengan pihak RELA dan kakitangan kerajaan yang turut hadiri dalam majlis itu.

Pemimpin Kemajuan Rakyat Tempasuk (UPKR) Bagdad Turugan sempat berguru dengan berkata,” Kau tidak ikut gotong royongkah”. Saya menjawab, “Ada tuan,tengok baju saya, habis basah oleh peluh”.

Tidak lama kemudian Datuk Salleh datang menghampiri saya dan bersalaman sambil berguru dengan katanya,”Blogger,apa khabar. Bloggerpun ikut buat kerjakah?.”Lalu saya menjawap,” Ini kerja baik Tok”.Datuk Salleh kemudian menghampiri Awadnir Matanggal yang berkerja keras menceduk tanah yang mendap didalam parit.

“Datuk, lihatlah parit ini penuh dengan sampah.” Kata Awadnir sambil menunjuk timbunan bekas makanan dan gelas plastik di dalam parit.

“Sepatutnya pihak Majlis Daerah selalulah memantau keadaan dan kebersihan parit ini.”Komen Datuk Salleh.

“Amin,Tolong ambil gambar,” pinta Awadnir. Lalu sayapun mengambil gambarnya yang sedang berkerja Lalu Datuk salleh berkata separuh bergurau ,”Ambil gambar Timbalan tu, siarkan dalam Face Book.”

Program Juara Rakyat Peringkat Kota Belud dilihat mencapai matlamatnya seperti yang dirancangkan oleh pihak penganjur. Orang ramai yang hadir memberi komen bahawa mereka berpuas hati menghadiri program ini kerana memperolehi banyak maklumat daripada kaunter-kaunter pameran dan kaunter pendaftaran ahli UMNO. Orang ramai juga berpendapat bahawa yang paling penting sekali ialah kesempatan yang terbuka untuk menjalinkan rasa muhibah serta rasa kemesraan antara satu sama lain terutama dengan para pegawai kerajaan dan juga pemimpin.

Read more...

JASA DATUK RAHMAN : SOKONGAN PADU MASYARAKAT CINA KB

Saturday, February 20, 2010






Masyarakat Cina Kota Belud amat menghargai jasa Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan kerana atas krisma kepimpinannyalah , peruntukan Dua Juta Empat Ratus Lapan Puluh Ribu untuk membina Banguan Tiga Tingkat SRK (C) Chung Hua, Kota Belud telah diluluskan oleh kerajaan Pusat dibawah Kementerian Pelajaran Malaysia dan majlis perasmian Pecah Tanah telahpun disempurnakan oleh YAB Datuk Sri Panglima Musa Hj. Aman,Ketua Menteri Sabah pada 28 Disember 2009 tahun lalu.

Pada malam 17 Februari,2010, masyarakat Tionghua sekali lagi menunjukkan sokongan mereka kepada Ahli Parlimen Kota Belud dengan kehadiran yang begitu ramai dalam satu majlis perasmian Pesta Ang Paw yang telah dianjurkan oleh Badan Rekreasi Dan Biro Wanita Cina Persatuan Tionghua Daerah Kota Belud sempena sambutan Tahun Baru Cina tahun ini.

Datuk Rahman ketika berucap dalam majlis itu, suku kaum Tionghua di daerah ini diseru supaya tidak perlu bimbang dengan dasar-dasar kerajaan memperkasakan ekonomi golongan bumiputera kerana kemantapan ekonomi golongan ini akan memberi kesan yang baik kepada para peniaga kaum cina di daerah Kota Belud.Ini dapat dilihat apabila menjelang hari-hari perayaan seperti sambutan Krismas dan Hari Raya dimana golongan bumiputera berpusu-pusu memenuhi kedai-kedai masyarkat Cina.

Budaya seperti inilah menjadikan negara kita Malaysia yang berbilang suku kaum, begitu unik dan hidup dalam situasi aman damai. Barangkali susana seperti inilah yang amat dicemburui oleh negara lain di dunia in sehinggakan ada pihak tertentu yang cuba mengadudomba atau melaga-lagakan masyarakat berbilang etnik ini dengan menyuntik bibit-bibit permusuhan antara kaum.Maka itu sepatutnyalah kita perlu sekali mengekalkan budaya hidup seperti ini dengan penuh kesedaran dan keinsafan bahawa negara Malaysia ini perlukan semangat perpaduan nasional yang berkekalan.
Sebagai pemimpin peringkat nasional, Datuk Abdul Rahman melihat budaya perpaduan dan sikap teloransi di kalangan rakyat Malaysia dan khasnya di daerah Kota Belud ini yang tersemai begitu lama iaitu sebelum Sabah merdeka lagi , perlu dipupuk dan dipelihara dari genarasi ke genarasi akan datang.Ini kerana masyarakat Cina di daerah ini walaupun jumlahnya kecil berbanding dengan bilangan suku kaum yang lain, namun sejarah telah membuktikan bahawa kaum yang dianggap suku menoriti ini adalah berperanan besar dalam menuntukan kemenangan kepada sesebuah parti yang bertanding dalam pilihan raya.

Hakikat ini perlu disedari bahawa tanpa sokongan masyarakat cina, sudah tentu parti Barisan Nasional menghadapi masalah dan kemungkinan besar akan kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 nanti. Disinilah kita dapat menilai sejauh mana kebijaksanaan para pemimpin ADUN dan Parlimen menambat hati para pengundi golongan ini supaya terus menyokong kerajaan. Dalam soal ini , dilihat politik wang tidak mungkin dapat mempengaruhi golongan ini kerana sebahagian besar mereka adalah terdiri ahli-ahli perniagaan yang berjaya. Apa yang penting bagi mereka ialah kebajikan kaumnya perlu diberi perhatian yang saksama dan layanan baik daripada pihak kerajaan secara adil dan tidak dipinggir dalam pembangunan prasarana.

Datuk Rahman adalah seorang ahli politkus yang bijak dan penuh pengalaman, sudah tentu dalam soal ini, formulanya sudah sedia diformatkan atau ada kaedah lain yang lebih canggih lagi dalam percaturan tersebut. Segala strategi politik untuk menawan hati golongan Cina Kota Belud perlulah diatur dan disusun untuk menghadapai PRU yang tidak lama lagi.

Walau bagaimanapun daripada penghayatan terhadap reaksi masyarakat Cina di daerah ini semenjak kebelakangan, mereka dengan jelas menyatakan bahawa kepimpinan Ahli Parlimen Kota Belud ini telah dipuji kerana keakrabanya dengan rakyat, sentiasa mendengar pendapat rakyat dan mempunyai pandangan dan perancangan yang jelas kehadapan. Datuk Abdul Rahman dikatakan mempunyai sikap cukup liberal dan mesra rakyat kepada semua suku kaum seperti Bajau, Irranun, Dusun dan Cina. Para penganalisis politik, menganggap beliau adalah seorang yang berani, berterus terang dan komited dalam setiap perancangan pembangunan yang diwar-warkannya kepada rakyat Kota Belud.

Pemimpin seperti inilah yang sangat dikehendaki oleh rakyat Kota Belud untuk membawa satu revolusi pemikiran dan anjakan pembangunan yang teratur dan terancang. Kita cukup berkeyakinan beliau sentiasa di hati pengundi dan jasa khidmatannya masih diperlukan untuk memacukan pembangunan sosioekonomi dan pelbagai bidang lain di daerah ini di masa akan datang. Oleh itu, Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najip Tun Abdul Razak, amat wajar menilai beliau secara bijaksana dan perlu di beri peluang sepengal lagi sebagai Ahli Parlimen Kota Belud. Inilah harapan dan permintaan rakyat agar beliau dapat merealisasikan semua agenda-agenda pembangunan dalam pelbagai bidang sepertimana yang dirancangkannya.

Read more...

JENAYAH MENCULIK BERLAKU LAGI DI SEMPORNA

Friday, February 12, 2010

Daerah Semporna di negeri Sabah digemparkan oleh satu lagi peristiwa penculikan melibatkan seorang pengurus dan penyelia satu perusahan pemeliharaan agar-agar laut di pulau Sebangkat. Barangkali kita masih ingat peristiwa penculikan yang berlaku di Pulau Sipadan dalam tahun 2000 di mana pelancong tempatan dan asing serta pekerja pusat peranginan tersebut menjadi mangsa oleh penjenayah yang dikatakan didalangi oleh kumpulan militan Abu-Sayyaf. Siapakah dalang yang melakukan penculikan di pulau Sebangkat kali ini?

Persoalan ini telah menimbulkan pelbagai andaian dan spekulasi dari para penganalisis dari pelbagai pihak. Para penganalisa menyifatkan perisiwa penculikan yang berlaku di pulau Sebangkat ini merupakan satu manifestasi ekoran kenyataan berkaitan dengan “Warden Notise” yang dikeluarkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat bulan lepas.Apakah benar andaian dan spekulasi mereka ini?

Pokok persoalan utama sekarang ialah siapakah penculik En Chen,40,Pegurus Syarikat Pembiakan Rumpai Laut dan Penyelianya En Lim berusia 25 tahun? Difahamkan drama penculikan ini telah berlaku jam 1.30 pagi(malam)pada 08 Februari lalu. Dikatakan kedua mangsa culik ini sedang berihat diluar kuarters yang tiba-tiba didatangi oleh lima penrompak bersenjata api dan parang .

Terdengar desas-desus yang mengatakan bahawa penculik tersebut telah cuba menghubungi keluarga mangsa untuk meminta sejumlah wang tebusan. Tetapi apa yang digembar-gemburkan oleh orang ramai ini telah dinafikan oleh Pesurhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim dan beliau engan mengulas berhubung perkara ini.
“ Ini bukanlah satu kegiatan yang dirancang oleh kumpulan Abu-Sayyap, ia lebih kepada rompakan untuk mendapat keuntungan cepat.

“ Kita bagaimanapun akan menyiasat lebih lanjut terhadap kes ini dan juga percaya dapat mengesan kedua-dua mangsa dan suspek dalam masa terdekat ini,”

Petikan kenyataan oleh Pesuruhjaya Polis sabah ini degan jelas menjawap persoalan yang menjadi tanda tanya rakyat bahawa kes penculikan yang berlaku di Pulau Sebangkat ini bukanlah dilakukan oleh kumpulan militin pemisah Islam dari Negara jiran iaitu Filipina.

Noor Rashid juga berkata bahawa, suspek-suspek itu meminta wang sebelum membawa dua orang mangsa itu bersama mereka dan melarikan diri. Berdasarkan siasatan awal, punca berlakunya kes penculikan ini adalah disebabkan berlaku pertikaian berhubung bayaran dan gaji pekerja.Polis juga percaya kejadian itu bermotifkan rompakan kerana gaji bagi 34 pekerjanya akan dibayar pada hari kejadian.

Para pemimpin pusat juga turut memberi pandangan secara terperinci berhubung dengan isu penculikan di Pulau Sibangkat ini misalnya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyangkal andaian kononnya rompakan itu ada kaitan dengan Warden Notice dan kes penculikan ini tidak melibatkan orang luar dari Malaysia. Beliau mengesa rakyat Sabah tidak panik dengan situasi ini kerana pihak polis,tentera dan Maritim Malaysia siap siaga mengawal dan operasi mencari kedua orang mangsa jenayah culik itu.

Semantara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hisammudin tun Hussein turut menafikan laporan sebuah stesen radio di Flipina yang mengatakan bahawa kehilangan dua rakyat tempatan itu adalah angkara kumpulan pejuang pemisah Abu Sayyaf.
Di Sabah, para pemimpin tempatan seperti Datuk Nasir Tun Sakaran, Menteri di Jabatan Ketua Menteri mengesa rakyat di Semporna memberi kerjasama kepada pihak kerajaan dengan memberi maklumat hingga tertangkapnya lima penjenayah culik yang disyaki terdiri orang tempatan.Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Senalang ini juga yakin jika kerjasama semua pihak,akan memudahkan pihak berkuasa bertindak mengesan dan menyelasaikan kes kehilangan pengurus dan penyelia syarikat Dynasty Marine Far yang mengusahakan tanaman rumpai laut .

Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Persekitaran Sabah, Datuk Masidi Manjun menepis khabar kononnya kedatangan pelancong dari dalam dan luar negeri di Sabah telah menurun akibat daripada peristiwa penculikan itu. Beliau begitu yakin bahawa keselamatan pelancong di sekitar perairan Semporna seperti Pulau Sipadan dan Pulau Mabul adalah terjamin kerana pihak keselamatan telah dikera bersiap siaga dan ditempatkan dilokasi-lokasi berisiko tinggi.

Masidi berpandangan positif berhubung dengan isu notis 15 Januari yang dikeluarkan oleh pihak Kedutaan Amerika Syarikat menesihati rakyatnya di negeri Sabah supaya berwaspa dengan kumpulan penjenayah dan penganas. Walaupun dakwaan ini tidak menjejaskan jumlah kedatangan para pelancong namun telah mendapat perhatian oleh pihak kerajaan

Parti pembangkang di Sabah cuba menaguk diair keruh, apabila pegerusi DAP Sabah Dr. Hiew King Chew telah memberi komen berhubung dengan isu penculikan ini. Beliau mempersoalkan situasi di kawasan Pantai timor Sabah dimana keselamatan tidak terjamin dan berlaku kelonggaran lankah-langkah kawalan keselamatan yang sedang dijalankan di kawasan berkenaan.

Pandapat Dr Hiew ini telah dibidas oleh Datuk Nasir Tun Sakaran dengan menjemput pengerusi DAP ini ke Semporna dan melihat sendiri langkah-langkah keselamatan yang dibuat oleh pihak polis,tentera dan merin untuk mengawal keadaan perairan daripada dicerobohi pengganas.Menurut beliau kenyataan Dr Hiew ini tidak sihat kerana seolah-oleh mengambarkan Semporna tidak selamat dikunjungi oleh pelancong tempatan dan luar negara.

Walau apapun pendapat dan pandangan kita berhubung dengan isu penculikan ini, realitinya ialah kita masih lagi dibelenggu oleh persoalan bilakah mangsa penculikan terancang ini dapat ditemuai dan dibebaskan? Semua lapisan rakyat Malaysia amat mengharapkan dan berdoa supaya kedua –dua mangsa ini dapat dibebaskan dengan selamat tampa berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini oleh kita semua terutama sekali ahli-ahli keluarga yang terlibat.

Read more...

BAHANG PRU KE 13

Tuesday, February 9, 2010

Bahang ketibaan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU) mulai terasa oleh rakyat Malayasia terutama sekali kepada parti-parti politik samada parti pembangkang dan juga parti yang menyokong kerajaan di negeri ini.Desas-desus kedatangan pilihan raya umum di negeri ini akan diadakan serentak dengan pilihan raya umum di negeri Sarawak begitu hangat diperkatakan oleh rakyat Sabah. Apakah benar khabar angin ini?

Khabar angin ini, walaupun cuma satu permainan isu politik oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda tersendiri, namun sekecil manapun isu itu, jika sekiranya tidak ditangani dan dibiarkan bermain dibibir rakyat tanpa disusuli apa-apa tindakan untuk memperbetulkannya, ini sudah tentulah akan mendatangkan kesan yang kurang baik dan dikhuatiri mendatangkan kekeliruan kepada rakyat dan akhirnya akan melahirkan suasana tegang yang tidak dapat dikawal kelak.

Menyedari akan hakikat inilah maka Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman telah menyakal dakwaan ini dengan berkata;

“ Khabar angin itu tidak benar kerana kita telah mengadakan pilihan raya negeri bersama-sama dengan semanjung sejak Pilihanraya Umum 2004 dan 2008.

“Setakat ini, adalah sesuai bagi Sabah untuk mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan Kerajaan Pusat dan tidak akan ada perubahan.”

Pandangan Datuk Musa Aman ini dibuat setelah mengambil kira banyak perkara terutamanya dari sudut kekukuhan parti teras iaitu UMNO dan juga persiapan kukuh daripada parti-parti komponen BN. Ini bukanlah bererti parti BN Sabah takut dan gentar menghadapi pilihan raya lebih awal seperti mana yang diwar-warkan oleh pihak pembangkang selama ini. Dalam soal ini, parti pembangkang janganlah terlalu mendabik dada dan begitu berbanga dengan dengan kekuatan parti mereka. Para pemimpin PR seperti kita lihat dalam kenyataan-kenyataan didada akhbar dan siri-siri ceramah yang diadakan begitu gahirah dan bersemangat sekali bahawa pilihan raya ke 13, pakatan parti pambangkang akan dapat menewaskan calon-calon BN bukan sahaja di Semanjung Malaysia tetapi juga di Sabah dan Sarawak.Impian PR umpama tingginya langit iaitu ingin mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan BN sekarang ini. Apakah impian PR ini akan tercapai selepas pilihan raya umum ke 13 nanti?

Harus diingatkan juga bahawa sejarah plihan raya umum di Sabah dalam tanun 2004 dan 2008 masih boleh dijadikan ukuran sejauh mana kekuatan parti pembangkang. Pakatan pembangkang khasnya di Sabah tidak semudah yang diangankan untuk mendapatkan kerusi kemenangan di DUN dan kawasan Parlimen. Sebagai bukti kekukuhan parti BN ialah fakta disandarkan kepada keputusan pilihan raya umum 2008 dimana Barisan Nasional Sabah dan wilayah Persekutuan Labuan yang bertanding 26 kerusi Parlimen telah Berjaya memenangi 25 kerusi. Demikian juga di Sarawak daripada 31 kerusi Parliemen dipertandingkan itu sebanyak 31 kerusi telah dapat dimenangi.Ini menunjukkan pembangkang di sabah dan Sarawak Cuma mampu memenangi satu kerusi parlimen sahaja dalam pilihan raya tersebut.

Dalam soal kepimpinan pula, semenjak akhir-akhir ini parti-parti gabungan pembangkang ini atau PR telah dilanda berbagai krisis kepimpinan di peringkat negeri dan pusat. Sebagai buktinya ialah apa yang terjadi kepada kepimpinan PKR negeri Selangor baru-baru ini di mana 11 anggota jawatankuasa serta Ketua Pemuda dan wanita PKR cabang Kuala Selangor telah meletak jawatan kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar Selangor itu.

Dalam soal ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulas dengan berkata bahawa, trend hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan terus berlaku kerana ramai anggotanya telah menyedari pemimpin mereka berjuang atas landasan sia-sia. Berdasarkan pelbagai maklumat yang diterimanya, ramai anggota parti itu kecewa dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin lain seperti Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kelahiran beberapa buah organisasi politik yang baru di negeri ini, merupakan satu pertanda jelas bahang pilihan raya umum ke 13 semangkin hampir. Berdasarkan kepada rekod Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia bagi tahun 2008, parti politik turut bertanding semasa pilihan raya tersebut ialah UMNO, PBS ,PKR, PASOK, BERSEKUTU, DAP, UPKO, PBRS, SAPP, MCA, SETIA, dan LDP. Parti baru yang bakal mewarnai suasana pilihan raya umum ke 13 yang telah diluluskan pendaftarannya ialah dikenali Parti Barisan Rakyat Sabah Bersekutu (PBRSB) dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).

Nampaknya kehadiran parti baru PPRS ini kurang disenangi olehparti Pakatan Rakyat kerana awal-awal lagi Kertua Majlis Negeri PKR Sabah, Ahmad Thamrin Jaini dengan berkata bahawa parti baru ini tidak akan mampu mampu membuat sebarang perubahan yang dikehendaki rakyat kerana parti ini bersifat kenegerian dan tidak mampu memberikan impak kepada senario politik nasional. Tamparan ke atas parti PPRS ini juga diterima daripada Pengerusi DAP Sepanggar, Jefferi Kumin dengan berkata walaupun nama parti itu Parti Perpaduan Rakyat Sabah tetapi ia tak mampu menyatukkan rakyat melalui satu parti.

Pilihan Raya Umum ke 13 dinanti penuh harapan,semoga negara Malaysia ini terus aman damai dengan kedudukan politik terus stabil dipimpin oleh para pemimpin BN yang berkarisma dan berintergriti.

Read more...

PBS DAN DEMOKRASI TERCALAR : SATU TINJAUWAN

Thursday, February 4, 2010

Rentetan peristiwa politik Sabah tidak mungkin dapat ditetapi umum sekiranya tidak lahir kesedaran mendalam dari seorang penulis tentang peranan dan tanggungjawab mengumpul makumat sebagai bahan penting dalam karyanya

Seorang penulis tidak semudah disangkakan mengolah idea berdasarkan maklumat yang dikutip dari sumber yang sahih dan benar fakta sandarannya . Dalam soal ini, kemahiran berbahasa , kemantapan penguasaan tata bahasa dan gaya pengunaan bahasa amat penting dalam penulisan .

Meminjam kata-kata Othman Putih dalam bukunya Proses Penciptaan beliau mengatakan bahawa antara seorang penulis dengan penulis lain membutirkan hal-hal yang sangat berbeza dalam pengalaman berkarya dan mereka ini juga mempunyai idealism dan visi tersindiri dalam karyanya.

Demikianlah juga dalam buku Salleh Saripin Alattas yang bertajuk Delima Politik Sabah : PBS dan Demokrasi , mempaparkan rentetan peristiwa dan catatan sejarah politik Sabah yang banyak berkisar tentang gagasan perjuangan Parti Bersatu Sabah dari awal penubuhannya 1985 hingga kejatuhan parti itu pada tahun 1994.

Beberapa topic utama, telah diolah dan dikupas dengan baik oleh penulis berdasarkan urutan peristiwa serta fakta-kakta sejarah. Sebagai contohnya ialah, PBS ;Kemana Selepas ini ?, Kebangkitan semula Semangat Tambunan, !985 Yang Penuh Keramat, Motif Disebalik Komplot Guling Sakaran, Kuasa : UMNO Jangan Tamak dan lain-lain lagi.

Penulis buku ini mempersoalkan apakah sistem demokrasi di Sabah masih ujud ? Bagai mana nasib masa depan PBS di tengah-tengah politik Malaysia ?

Dalam mukadimah buku tersebut, penulis telah mencetus pemikiran yang cukup kritis dan sinis sekali kerana melihat apa yang berlaku dalam keputusan Pilihan Raya 1994. Dalam Pilihan Raya Negeri pada 18 dan 19 Februari 1994, PBS telah diberi mandat oleh rakyat sekali lagi dengan kemenangan yang amat tipis iaitu 24 kerusi manakala BN 23 kerusi. Situasi ini telah menimbulkan ketegangan politik Sabah dan merupakan titik hitam dalam sejarah negeri ini seperti yang digambarkan oleh Salleh Saripin seperti berikut;

“ Belum pernah terjadi dalam sejarah pengamalan demokrasi di Negara kita, di mana parti yang menang terpaksa menunggu sehingga 36 jam sebelum dapat membentuk sebuah kerajaan negeri. Apakah ada suatu cerita disebalik semua ini ? Apakah mahu dinafikan kemenangan PBS melalui pengundian secara demokrasi ini ? Peristiwa 36 jam ini merupakan permulaan detik yang penuh ‘misteri’ sesetengah pihak untuk mengenepikan semangat demokrasi itu sendiri. Apatah lagi dengan perbezaan hanya satu kerusi sahaja . kegagalan BN menanti 36 jam untuk mengharapkan agar ada wakil rakyat PBS menyertainya, tidak berakhir begitu sahaja. Misi seterusnya dirangka agar PBS dapat diturunkan kuasanya.”

Dalam bab yang bertajuk PBS : Kemana selepas ini?, pengarang mendedahkan pengorbanan perjuangan parti itu melahirkan ramai pemimpin berpotensi dan berkaliber.

“ Begitulah tulusnya PBS berjuang di bumi Sabah ini. Berapa ramai tokoh yang naik dan mendapat kedudukan kini, hasil perjuangan PBS. Hanya mereka sahaja yang lupa akan pengorbanan PBS selama ini. Cuba kita lihat barisan pemimpin negeri sekarang . Datuk Lajim, Datuk Salleh, Datuk Yong, Datuk Kurup, Datuk Pandikar, Datuk Tham, Datuk Micheal Lim, Marcus Majihi, Datuk Wencess dan ramai lagi. Bukankah mereka ini anak didik PBS? Bolehkah mereka menafikan yang PBS lah menjadikan mereka di puncak kuasa sekarang?”

Dengan ini jelas, perjuangan PBS selama 9 tahun mentadbir negeri Sabah mencatat pelbagai peristiwa suka duka kepada para pemimpin dan juga rakyat.Ketika itu politik Sabah diwarni berbagai corak pemikiran yang tercetus dari idea para pemimpin dengan satu tujuan mahu membela rakyat keluar dari masalah kemiskinan.Tempoh pemerintahan yang begitu lama ini telah melahirkan pemimpin siasah yang berkeliber dan berkarisma di negeri Sabah sehinggalah pada mutakhir ini.

Read more...

BUAYA SUNGAI MARABAU BERJAYA DITANGKAP

Monday, February 1, 2010








KOTA BELUD : Jangan sangka air tenang tidak berbuaya dan jangan sangka Kota Belud tenang selepas banjir, tiada buaya, tetapi sebaliknya masyarakat di sini, telah dikejutkan berita penduduk kampung Marabau berjaya menangkap sekor buaya berukuran kira-kira 2.5 meter di Sungai Marabau di sini, pada pagi Isnin.

Menurut Mohd Karim Jibal, 49 tahun buaya yang dikatakan betina itu telah mengejutkan orang kampung khususnya mereka yang selalu mandi,menagkap ikan dan mengambil karang air tawar di sungai itu setelah mendapati beberapa bekas tapak tangan, kaki dan ekor buaya disepanjang tebing sungai berkenaan.

“ Apabila kami tidak syak lagi bahawa sungai itu ada buaya lalu kami menghubung Jabatan Hidupan Liar Kota Kinabalu mengenai kehadiran reptillia bahaya itu.
Katanya, buaya itu Berjaya diperangkap dalam jerat besi milik Jabatan Hidupan Liar yang pasangkan oleh kakitangan berkenaan pada sabtu lepas dengan kerjasama penduduk kampung.

Menurut Karim, beliau menyedari kehadiran reptillia berbahaya itu sewaktu melawat ke kebun Pisang dan Tebunya selepas banjir pada 19 Januari selepas banjir surut yang juga terletak dibelakang rumah berhampiran sungai itu.


“ Ketika saya menghampiri tebing sungai itu, saya mendapati satu tapak menyerupai tapak kaki buaya lalu memaklumkan kepada penduduk kampung, penduduk kampung juga memberitahu itu adalah tapak kaki buaya berdasarkan kesan berbentuk titik,” katanya.
Seorang lagi penduduk hampir nyaris menjadi mangsa buaya berkenaan, Hajah Saidah Haji Saman, 66, berkata, seminggu sebelum banjir, ketika itu, beliau sedang mencari karang air tawar (kebili) di sungai itu, menyadari kehadiran buaya itu yang disangkanya biawak hanya beberapa jarak daripada tempatnya berdiri.

“Saya memukul buaya berkenaan menggunakan besen dan apa yang menghairankan saya buaya itu tidak berganjak, lalu saya teringat petua orang dulu-dulu, lalu saya sebut ‘kunyit-kunyit’ sebanyak tiga kali dengan perlahan-lahan bergerak melangkah kebelakang dan tiba-tiba buaya itupun lenyap dalam pengelihatan saya,

“Setiba di rumah, saya memberitahu suami saya mengenai kejadian tersebut, tetapi malangnya beliau menyangkal tanggapan itu dengan menyatakan apa yang saya nampak itu adalah hanya seekor biawak,”jelasnya.

Katanya lagi, dia tidak syak lagi, bahawa reptillia bahaya itulah yang dia pukul dengan besen ketika merenung buaya itu dalam jerat besi sebelum diambil oleh Jabatan Hidupan Liar.

Semantara itu Ketua Cawangan UMNO Kampung Marabau Bening Haji Adan, 55, berkata kewujudan buaya terbabit sudah lama diperkatakan malah, dipertikaikan oleh penduduk kampung sekitar tidak mempercayai jika ada haiwan lain menghuni Sungai Marabau yang dijadikan penduduk sebagai tempat untuk mencari rezeki selain digunakan untuk mendapatkan sumber seharian.

Katanya, kehadiran reptillia itu dikatakan telah menjadi sejarah Kota Belud yang selama ini belum ada selepas Merdeka dan menambah rupa-rupanya kini, sungai-sungai di daerah berkenaan tidak selamat dijadikan sumber kehidupan seharian oleh penduduk setempat.

Sehubungan itu beliau bercadang agar pihak-pihak berkenaan bertindak segera menghapuskan jenis reptillia yang membahayakan kepada masyarakat Kota Belud dan menambah, menyarankan orang kampung yang duduk berhampiran sungai-sungai tersebut agar berhati-hati dan segera bertindak melaporkan hal-hal seumpama itu kepada pihak-pihak berkenaan.

Seorang lagi penduduk, Sain Badat,41, berkata ternampak seekor lagi buaya timbul yang lehirnya kelihatan berwarna merah, dan beranggapan sungai itu masih ada buaya jantan yang masih berkeliaran, sebelum betina itu ditangkap.

Anggota polis dan Bomba dan Penyelamat turut hadir ditempat buaya itu ditertengkap, tepi Sungai Marabau, sementara menunggu Jabatan Hidupan Liar membawanya ke Zoo Lok Kawi, di Kota Kinabalu.

Caption, buaya betina berukuran kira-kira 8’-10’ panjang dalam besi perangkap
-orang ramai ketika menyaksikan buaya itu
1-Mohd Karim Jibal
2-Hajah Saida
3-Bening Haji Adan
4-Sain Badat

Read more...

About This Blog

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP