SIMBAHAN NUR ILLAHI DI KG. PODOS

Monday, September 6, 2010




Kampung Podos sebuah perkampung orang Dusun yang terletak di kawasan Kadamaian di daerah, Kota Belud. Kampung ini merupakan sebuah perkampungan agak terpencil yang hanya boleh dihubungai oleh sebatang jalan raya yang masih grabel dan hanya sesuai dilalui oleh kerita pacuan empat roda.

Demi menegakkan siar Islam di kampong ini di bulan ramadhan yang penuh dengan keberkatan,Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kota Belud, Awadnir Matanggal bersama-sama rombongannya telah memenuhi permintaan seorang guru di SK. Podos iaitu Ismail Tusin untuk berbuka puasa, sembahyang maghrib, Ishak dan seterusnya bersembahyang sunat tarawih di rumahnya di kampong tersebut.

Rombongan kami tiba di kampong Podos jam 6.00 petang pada 02 September 2010. Petang itu hujan turun renyai-renyai menyebabkan jalan berlumpur dan becak. Pemandangan di kampong itu agak gelap,mungkin disebabkan kampong ini terletak ditengah-tengah hutan dan tanahnya berbukit-bukit.

Rombongan kami telah disambut oleh Chegu Ismail, Jailun Tinsuk (Pemaju Mukim-Kadamian) Ustaz. Josey Rasid @ Saiful yang lebih awal sampai dan bebarapa saudara baru Islam di kampong itu.

Dari wajah chegu Ismail dan isterinya Pn. Sapilin @ Siti Munirah Abdullah begitu terharu dan gembira sekali dengan kehadiran rombongan kami hari itu. Menurut Ismail, inilah kali pertama kampong Podos menerima tetamu di bulan ramadhan sebagai jiarah sesama islam dan menjalankan kegiatan dakwah.

Tepat jam 6.24, anak Awadnir melaungkan azan maghrib dan ini menandakan masuknya waktu berbuka puasa pada hari itu.Kami berbuka puasa ala kadar dengan air kopi susu, air sirap dan kuih -mueh yang disedikankan oleh chegu Ismail dan ahli keluarganya.

Setelah berbuka puas, kami menunaikan solat maghrib berjemaah bersama dengan penduduk kampung Podos yang beragama islam. Setelah solat, kami dijemput makan malam. Ketika inilah, kami mengambil kesempatan untuk mengeratkan lagi silaturahim dengan saudara –saudara baru dengan bersalam –salaman,bertanyakan khabar dan mendengar luahan-hati mereka setelah memeluk agama Islam.

Alhamdulilah syukur kepada Allah, nur agama Islam telah menerangi kehidupan mereka dengan ketenangan hati dan kebahagian hidup yang sukar dinyatakan dengan ucapan kata-kata. Berpuasa dibulan ramadhan ini memberi mereka kekuatan iman dan menginsafi segala dosa-dosa lalu sebelum menganut agama Islam.

“ Kami di kampong ini amat memerlukan surau untuk beribadat. Selama ini, kami berkumpul di dalam rumah untuk bersembahyang jemaah dan berlajar ajaran agama islam,”kata chegu Ismail.

“ Setakat ini, kami menubuhkan satu persatuan iaitu ‘Pertubuhan SeIslam Saudara Baru,Kg Podos’dengan ahli-ahlinya seramai 35 orang,”jelasnya lagi.

Timbalan Ketua Bahagian UMNO ,Kota Belud, Awadnir Matanggal dalam maklum balasnya, beliau akan cuba sedaya upaya mencari jalan bagi mendapatkan peruntukan mendirikan surau di kampong Podos.Tapak surau tidak ada masalah kerana chegu Ismail mempunyai sebidang tanah untuk tujuan itu.

“ Dalam perkara ini, saya akan memberi keutamaan dan perhatian penuh supaya sebuah surau dapat didirikan di sini.Insallah, saya akan berusaha sedaya upaya mencari sumber peruntukan dan dapat melaksanakan pembinaannya secepat mungkin ,” kata Awadnir.

Selepas solat Isak, ustaz Saiful mengimami kami bersolat sunat tarawih. Solat ini amat bermakna dan bersejarah di Kg. Podos kerana inilah pertama kalinya diadakan di sini. Ustaz Saiful juga, mengambil peluang memberi sedikit ceramah mengenai tertip sembahyang sunat tarawih kepada saudara baru.

Semoga aktiviti-aktiviti dakwah di bulan ramadhan, dengan niat tulus iklas kerana Allah mendapat keberkatan. Sembilan malam majlis solat tarawih telah pun selasai dan kami sekali lagi dijemput minum malam oleh tuan rumah. Kami dihidangkan buah-buahan seperti buah langsat dan buah rambutan. Semasa berangkat pulang rombongan kami dititipkan bakul berisi buah-buahan sebagi oleh-oleh.Terima kasih ahli keluarga chegu Ismail dan saudara-saudara seagama di kg Podos.


0 comments:

Post a Comment

About This Blog

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP