RAKYAT MARHAEN TERJEJAS PERLAKSANAAN GST ?

Thursday, November 7, 2013



Pelbagai reaksi masyarakat apabila Datuk Najip Tun Razak mengumumkan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam belanjawan negara 2014 di Dewan Parlimen. Dikalangan masyarakat bandar pelaksanaan sistem ini tidak terlalu asing, tetapi bagi masyarakat luar bandar tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan GST . Dalam bahasa Inggeris sistem ini disebut Good and Services Tax ( GST) dan terjemahkan dalam bahasa Melayu sebagai Cukai Barang dan Perkhidmatan. Perkara ini amat perlu diberi tafsiran dan penerangan sejelas-jelasnya kepada semua golongan rakyat terutama sekali golongan marhaen yang tingggal di daerah pendalaman supaya mereka lebih memahaminya..
Pelaksanaan GST penting untuk negara membangun seperti Malaysia sebagai langkah memperkukuhkan sistem percukaian negara. Pelaksanaannya membolehkan lebih ramai rakyat menyumbangkan kepada pendapatan negara. Ini bermakna negara mengutip dana dari cukai bagi tujuan pembangunan rakyat secara holestik.

GST merupakan sistem global kerana sistem ini telah pun diaplikasikan oleh banyak negara-negara maju di dunia ke arah memperkukuhkan lagi pendapatan negara dan sistem percukaian itu sendiri.
GST bermatlamat untuk memberi ruang kepada semua lapisan rakyat menyumbangkan kepada pendapatan negara. Selama ini rakyat sangat mengharap lebih banyak peruntukan dari kerajaan tetapi tidak tahu macam mana hendak menyumbang pendapatan mereka kepada kerajaan. Dalam sistem GST ini, rakyat diberi ruang seluas-luasnya untuk menyumbang kepada dana kerajaan secara timbal balik, maksudnya rakyat menyumbang dana dan kerajaan pula akan memberi semula kepada rakyat dalam bentuk pembangunan.

Dalam soal lain, GST jangan dilihat sebagai bebanan rakyat. Golongan miskin tidak terjejas atau terbeban dengan pelaksanaan sistem GST kerana tidak semua barang keperluan dikenakan cukai, cuma barang-barang mewah jika dibeli juga terpaksalah akan dikenakan cukai.

GST akan dilaksanakan mulai 1 April 2015 pada kadar 6% bagi mengantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2014 berkata GST akan dikuatkuasakan 17 bulan dari tarikh pengumuman itu dengan kadar enam peratus, antara terendah kalangan negara-negara Asean. Lebih 160 negara di dunia telah melaksanakan GST, sekali gus membuktikan ia sistem cukai yang telus, berkesan dan adil.

Perkhidmatan pengakutan, tol lebuh raya, pelajaran dan perkhidmatan kesihatan dikecualikan daripada GST. Jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan yang terpilih dikecualikan daripada daripada GST. Dalam bidang perniagaan, kerajaan bercadang untuk mengurangkan cukai pendapatan koprat dan mempercepatkan proses Elaun Model bagi kos pembelian peralatan dan perisian ICT sehingga tahun penilaian 2016. Pakej ini termasuklah pengurangan dalam cukai pendapatan koperasi sehingga tahun penilian 2015, serta pemberian geran latihan RM 100 juta kepada perniagaan yang menghantar pekerja untuk latihan GST pada 2013 dan 2014.

Dalam soal ini, rakyat harus memandang positif pelaksanaan GST dan tidak menganggapnya sebagai gimik politik kerajaan Barisan Nasional. Rakyat perlu berfikiran terbuka dan berusaha menilai atau mengkaji sendiri tentang kebaikan sistem GST terhadap rakyat dan kesan jangka panjang ke atas ekonomi negara.

Pelaksanaan GST pada 2015 memberi peluang kepada syarikat-syarikat untuk menyusun semula akaun dan menstabilkan perniagaan mereka sebelum penguatkuasaan sistem ini. Pada dasarnya kerajaan cuba membantu syarikat-syarikat dalam tempoh 17 bulan supaya mereka bersedia apabila GST dilaksanakan kelak. Para majikan harus menerima baik cadangan Perdana Menteri dalam usaha menguatkuasakan peberian gaji minimum pekerja kepada pekerja kerana kerajaan telah mengumumkan pakej insetif serta bantuan selaras pelaksanaan sistem GST ini.

Hakikatnya, pelaksanaan GST tidak akan memberi kesan besar kepada golongan marhaen yang berada di luar Bandar. Ini kerana kesan pelksanaan GST telah dikaji terhadap golongan ini. Perkara seperti penambahan jumlah BRIM, bantuan pendidikan untuk pelajar telah dikekalkan dan sudah tentu pengekalan ini mengembirakan ramai anggota masyarakat berpendapatan rendah.

Prof. Dr Shazali Abu Mansur pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan UNIMAS berpendapat bahawa sistem cukai GST yang diperkenalkan ini lebih telus kerana pengguna mengetahui jenis cukai yang mereka bayar serta jumlahnya. Orang miskin tidak perlu bimbang kerana mereka hanya membayar jumlah minimum, memandangkan mereka menggunakan barang dan perkhidmatan perlu sahaja seperti makanan, pengakutan dan pendidikan, yang mungkin sifar kadarnya dan pengguna tidak perlu membayar cukai tambahan.

Kenyataan beliau ini disokong oleh Dr Barjoyai Bardai dari UNITAR yang menilai pelaksanaan GST tepat pada masanya, sejajar dengan hasrat Malaysia untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. GST merupakan satu sistem percukai yang meyeluruh, cekap dan komprehensif yang mana ia dapat menjana pendapatan yang baik kepada negara, tetapi dalam masa yang sama tidak membebankan rakyat terutamanya golongan marhaen.

Melihat secara menyeluruh pandangan dan pendapat beberapa ahli akademik jelaslah bahawa pelaksanaan GST lebih terarah kepada usaha kerajaan untuk memperkasakan ekonomi negara untuk jangka panjang. Sistem cukai GST memenuhi aspirasi rakyat secara menyeluruh dan adil dimana golongan marhaen tidak terjejas dan terbeban dengan pelaksanaannya. Maka dengan ini, rakyat harus memberi reaksi positif dengan pelaksanaan sistem percukaian ke atas barangan dan perkhidmatan ini dengan penuh kesedaran. Ini amat penting sekali demi kemakmuran ekonomi negara di masa depan.




0 comments:

Post a Comment

About This Blog

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP